Sunday 28 October 2012

Uptown Maharani Update

Assalammualaikum dan Salam 1Malaysia

Mengikut pekeliling yang telah dikeluarkan oleh MPM baru-baru ini, mereka menjangkakan Projek Uptown Maharani akan siap pada pertengahan bulan November 2012 bagi fasa pertama, iaitu yang menghubungkan Jalan Maharani dan Jalan Abdullah. Sedikit gambar yang sempat saya tangkap pada 25 Oktober 2012.


Kelihatan skrin besar telah dipasang dihadapan laluan masuk Uptown Maharani


Lantai bata pun sudah siap dipasang
Semoga projek ini dapat disiapkan seperti yang dirancangkan dan dapat disiapkan sebelum DYMM Sultan Johor mengisytiharkan Bandar Muar sebagai Bandar Diraja Johor Rasmi pada harikeputeraan Baginda November ini. Bagi fasa yang lain, saya sangat-sangat berharap ianya dapat diteruskan pembinaan dan  pihak MPM dapat menyelesaikan masalah bantahan yang ditimbulkan peniaga-peniaga Cina di jalan sini dengan penyelesaian menang-menang untuk semua pihak.

Semoga kita berjumpa lagi pada masa akan datang.

Wassalam...

Saturday 13 October 2012

UPTOWN MAHARANI


Uptown Muar Dalam Pembinaan

Uptown Maharani 'mungkin' merupakan satu tarikan baru di bandar muar. Kerja-kerja pembinaan sedang giat dijalankan agar dapat siap menjelang perisytiharan muar sebagai Bandar Diraja Johor November ini. Mengikut style ala Petaling Street, dua bahagian jalan di Jalan Sisi telah dipasang dengan bumbung bagi membolehkan peniaga2 uptown ini berniaga dengan selesa. Gambar diatas adalah satu bahagian yang hampir siap pembinaannya iaitu di Jalan Sisi yang menghubungkan Jalan Maharani dan Jalan Abdullahh manakala bahagian yang menghubungkan Jalan Abdullah dan Jalan Meriam hanya siap binaan asasnya sahaja walaupun projek ini telah dimulakan hampir setahun yang lepas.

Saya memandang binaan ini setiap hari memandangkan saya bekerja berhampiran tapak ini. Usaha MPM menyediakan kemudahan ini boleh diberi kepujiaan tetapi dengan pelbagai masalah yang melanda dalam pembinaan termasuk bantahan peniaga di Jalan Sisi menyebabkan projek ini lewat beberapa bulan. Uptown Maharani ni bermula dengan bazar Syawal pada bulan puasa 2010 dengan peniaga menjalankan perniagaan menggunakan khemah yang disediakan MPM. Pada mulanya ianya kurang mendapat sambutan tetapi pada hujung2 bulan puasa tahun tersebut, ianya menjadi tumpuan penduduk Muar mendapatkan periapan Syawal dengan harga lebih murah berbanding membelinya di kedai atau pasaraya.  Kejayaan ini yang membuatkan MPM meneruskan dengan Uptown Maharani yang diadakan pada setiap Petang Jumaat dan Sabtu. Melihat pada sambutan yang makin menggalakkan, PM DS Najib Tun Razak bersetuju menyediakan peruntukan bagi mebina binaan kekal untuk Uptown Maharani yang bernilai jutaan ringgit.Bilangan peniaga kian bertambah malah Uptown Maharani semperna Syawal tahun ini juga dimulakan seawal minggu kedua bulan puasa di sepanjang Jalan Sisi, tetapi kali ini MPM terpaksa menggunakan keselurun Jalan Sisi dari persimpangan Jalan Maharani hinggga ke persimpangan Jalan Arab.

Uptown ini memang banyak memberi faedah terutamanya kepada golongan peniaga melayu yang mampu menjana pendapatan lumayan hasil berniaga di uptown ini. Dari segi pelancongan, ianya dapat memberikan satu daya tarik kepada pelancong untuk melawat Muar. Mungkin ianya tidak dapat menandingi Petaling Street di ibukota atau Jonker Walk di Melaka, tetapi sekurang-kurangnya dapat menhidupkan bandar Muar  pada malam minggu dan menolak perspektif orang luar, yang pernah menggelarkan Muar sebagai 'bandar pencen' ekoran premis-premis perniagaan menamatkan perniagaan mereka awal setiap hari dan menjadikan bandar ini agak sunyi pada waktu malam.

 Pada ayat pertama post ini saya menggunakan perkataan 'mungkin' merupakan tarikan, ini disebabkan ada beberapa permasalahan yang mungkin akan timbul apabila Uptown Maharani ini siap sepenuhnya kelak dan jika masalah ini tidak cepat diatasi, ianya bakal menggagalkan usaha menjadikan Uptown Muar sebagai tarikan pelancongan ke bandar Muar. Masalah-masalah ini akan saya bincangkan pada post yng akan datang.

Wednesday 10 October 2012

KINI IANYA BERMULA...

Assalammualaikum dan Salam 1Malaysia...
Alhamdulillah... ini merupakan post pertama saya dalam blog pertama saya. ada sebab, kenapa saya mahu membuat blog ini... Selepas menyempurnakan degree saya di UTM, kembali ke pangkuan keluarga, dan hidup saya memasuki fasa baru. Setelah ramai kawan-kawan sepengajian mula berlumba-lumba berhijrah untuk mendapatkan pekerjaan di kota, saya masih terperuk di Muar. Menyimpan dengan rapi degree yang diperolehi, saya memilih kerjaya yang lansung tiada kaitan dengan pengajian saya selama 4 tahun pada peringkat degree. Pada mulanya memang saya terasa malu kerana memilih kerjaya ini, merahsiakan pekerjaan dari diketahui oleh sahabat, tetapi sekarang saya bersyukur, kerana tuhan telah mentakdirkan rezeki saya di sini... dan kini saya berbangga dgn kerjaya saya sebagai seorang Supervisor di sebuah kedai cermin mata terbesar di Bandar Muar... Membantu orang yang datang yang semestinya memerlukan bantuan daripada kami, dan gembira melihat mereka memperoleh penglihatan seumpama orang yang normal.


Bekerja di Bandar Muar, menjadikan saya seorang pemerhati perkembangan bandar pencen ini. Bandar yang dulunya dikenali dengan bandar maharani, kini telah diisytiharkan sebagai Bandar Diraja Johor.. dan blog ini adalah catatan perspektif saya terhadap daerah Muar ini. Saya ingin berkongsi cerita apa sahaja yang ada di daerah ini supaya daerah ini kembali hebat dengan status Bandar Diraja pada perspektif orang luar...

Wassalam....