Thursday 8 November 2012

WELCOME TO MUAR

Assalammualaikum dan Salam 1Malaysia.
 
Welcome to Muar Bandar Diraja Johor.
Selamat menikmati keindahan bandar ini.
Anda akan disambut oleh kesesakan lalulintas sebaik sahaja memasuki bandar Muar iaitu sebaik sahaja anda turun dari Jambatan Sultan Ismail.
Terima kasih.


Inilah yang dihadapi oleh warga Muar setiap hari. Masalah kesesakan dilihat semakin parah saban hari. Masalah ini jika dibiar berlarutan boleh menjejaskankan pembangunan baik dari segi ekonomi hingga ke industri pelancongan. Ada beberapa punca yang saya dapat kenalpasti penyebab permasalahan ini.
1. Sikap para pemandu
Ini adalah punca utama kesesakan di bandar ini. Sikap segelintir mereka ini menjadi penyumbang pada kesusahan orang lain. Mereka ini dengan mudah meletakkan kenderaan sesuka hati mereka. Memang benar, agak sukar mendapatkan tempat meletak kenderaan terutamanya pada waktu bekerja tetapi bukanlah tiada langsung tempat yang sesuai meletakkan kenderaan. Saya juga merupakan pemandu di sini dan tidak pernah pula saya gagal mendapatkan petak meletak kenderaan walaupun kadang-kala terpaksa berpusing 2-3 kali untuk mendapatkannya. Masalah ini bertambah teruk dengan lori-lori juga diletakkan sesuka hati demi memudahkan mereka memunggah barang ke kedai-kedai di kawasan Muar. Ketidaksabaran dan kedegilan pengguna jalan raya menjdi pecetus pada masalah kesesakan ini.

Apa yang saya boleh cadangkan bagi mengatasi masalah ini ialah, dengan penguatkuasaan berterusan polis dan pihak berkuasa bagi menyaman mana-mana kenderaan yang melanggar peraturan. Penyediaan tempat letak kenderaan yang mencukupi juga boleh mengatasi masalah ini, tetapi ruang yang terhad membataskan tindakan yang boleh dilaksanakan MPM. Saya pernah mendengar cadangan untuk membina parkir bertingkat di Jalan Meriam dilaporkan akhbar tempatan baru-baru ini, tetapi saya tidak dapat melihat dimana projek itu akan dilaksanakan kerana Jalan Meriam telah dipenuhi dengan premis perniagaan.

2. Perancangan bandar yang tidak tersusun.
Sebaik memasuki bandar Muar melalui Jambatan Sultan Ismail, pengunjung akan menjumpai Stesen bas ekpress Muar. Kedudukan yang betul-betul di laluan masuk ke bandar Muar menyumbang pada masalah kesesakan lalulintas ini. Stesen ini begitu sibuk pada awal pagi dan lewat petang. Kapasiti tempat meletak bas yang kurang menyukarkan pemandu bas memasukkan bas ke petaknya. Akibatnya mereka lebih mudah meletakkan bas selari dengan arah lalulintas dan kadangkala termakan sedikit jalan di situ. Ini menjadikan ruang jalan semakin sempit dan pengguna jalan raya lain terpaksa memperlahankan kenderaan mereka. Pergerakan bas yang keluar dan masuk dan tindakan pengguna jalanraya lain menurunkan penumpang di bahu jalan memburukkan lagi keadaan.Secara jujur saya merasa malu melihat keadaan stesen bas di bandar ini kerana sepatutnya kemudahan ini sudah lama dipertingkatkan atau dipindahkan ke lokasi yang lebih bersesuaian. Mungkin juga ianya perlu disepadukan dengan stesen bas yang beroperasi untuk perkhidmatan bas henti-henti yang terletak di Jalan Maharani berdekatan Uptown Maharani bagi memudahkan pengunjung ke bandar Muar.

Antara bangunan lain yang saya merasakan perlu dibuat penempatan semula ialah, bangunan pasar awam, balai bomba, dan rangkaian bank-bank komersial. Rangkaian bank sepatutnya di pusatkan di satu tempat dengan kemudahan parkir yang banyak, kerana perniagaan ini yang mempunyai pelaggan yang sangat ramai setiap hari. Ini juga memudahkan pihak berkuasa seperti polis, memantau tahap keselamatan bank-bank berkenaan yang sentiasa berisiko tinggi.

Tidak kurang juga saya merasakan terdapat kelemahan dalam pengurusan jalan di Bandar Muar. Kebanyakan jalan di bandar ini telah di buat jalan sehala, tetapi beberapa jalan yang saya rasakan turut perlu disehalakan arah trafiknya ialah di Jalan Arab, Jalan Sulaiman dari bulatan Jalan Sulaiman ke persimpangan Jalan Abdullah. Trafik dikedua-dua jalan ini sangat tinggi. Jalan Arab merupakan jalan utama bagi kenderaan menuju ke arah Batu Pahat, manakala Jalan Sulaiman pula merupakan jalan utama masuk ke bandar Muar untuk kenderaan dari arah Batu Pahat di samping terletaknya beberapa buah bank utama yang sentiasa dikunjungi pelanggan. Bagi saya adalah baik Jalan Arab itu di sehalakan arah trafik menuju ke arah Batu Pahat, dan sebahagian Jalan Sulaiman itu di sehalakan arah trafik menuju ke pusat Bandar Muar. Cadangan ini mungkin dapat mengurangkan kesesakan yang sangat teruk di kedua-dua bulatan iaitu Bulatan Jalan Bakri dan Bulatan Jalan Sulaiman. Tidak molek rasanya jika Bulatan Jalan Sulaiman yang sedang berdiri megahnya mercu tanda Muar Bandar Diraja dicemari dengan kesesakan lalulintas yang teruk di kawasan itu.

3. Kurangnya pengangkutan awam.

Saya akan bincangkan ini pada post yang akan datang...
Assalammualaikum.